Wednesday, February 21, 2007

PERAPATAN

Perapatan merupakan sejenis hubungan emosi yang kuat antara dua individu yang cuba dikekalkan melalui kemesraan fizikal seperti sentuhan, penglihatan, pendengaran, senyuman atau percakapan (Pipp & Haromon, 1987). Dalam perkembangan emosi bayi, perapatan yang dibentuk adalah di antara bayi dan penjaganya. Ikatan atau hubungan ini adalah untuk mendekatkan penjaga kepada dirinya bagi memenuhi keperluan-keperluan asas, keselamatan dan kasih sayang. Menurut Erikson (1986), tahun pertama merupakan jangka masa yang penting membentuk ikatan (bond) atau perapatan antara bayi dengan penjaga. Dia juga menekankan bahawa kekuatan ikatan ini ditentukan oleh respons yang ditunjukkan oleh ibu atau penjaga kepada bayi.
Ainsworth dan rakan-rakannya (dalam Lefrancois, 2001) telah mengemukakan satu prosedur iaitu The Strange Situation Procedure untuk menilai perapatan bayi (infant attachment) dengan penjaga berdasarkan tahap tekanan dan kerisauan yang dialami oleh bayi dalam episod perpisahan dan pertemuan dengan penjaga atau ibu. Beliau telah membahagikan perapatan bayi kepada 4 kategori yang dapat diringkaskan seperti berikut.

1) Perapatan selamat
60 peratus daripada bayi yang dikaji berada dalam kategori ini. Bayi ini mempunyai emosi yang positif terhadap ibunya yang digunakan sebagai asas keselamatan untuk menerokai persekitaran. Bayi bermain dengan cergas dan aktif, serta boleh bergaul dengan orang yang tidak dikenali apabila ibu berada di sisinya. Bayi berasa sedih atau marah apabila ditinggalkan ibunya tetapi berasa tenang sebaik sahaja ibu kembali ke pangkuannya dan menyambut kepulangan ibunya dengan perasaan yang gembira. Bayi yang mempunyai perapatan selamat dengan ibunya biasanya mempunyai ibu yang bersifat responsif dan peka terhadap keperluannya. Mereka sentiasa memahami emosi bayi dan memberi respons yang positif terhadap emosi bayi. Mereka juga menunjukkan kasih sayang kepada bayi serta menghayati peranan sebagai ibu kepada bayi.

2) Perapatan tidak selamat dan pengelakan
20 peratus bayi berada dalam kategori perapatan tidak selamat dan pengelakan atau kerisauan pengelakan. Bayi tidak berminat untuk bermain walaupun ibu berada di sisinya. Mereka merasa cemas tetapi tidak menangis ketika ditinggalkan ibu. Selain itu mereka juga, menunjukkan tingkah laku yang negatif ketika ibunya kembali seperti menolehkan mukanya dan kadang kala tidak mahu didukung atau dipeluk oleh ibunya. Ibu kepada bayi jenis ini tidak mahu didukung atau dipeluk ibunya. Ibu kepada bayi jenis ini tidak peka terhadap isyarat dan keperluan bayi. Dia juga bersifat menolak dan kurang dari segi hubungan fizikal dengan bayi.

3) Perapatan tidak selamat dan penentangan
12 peratus daripada bayi dikaji berada dalam kategori ini. Bayi berasa risau dan tidak berminat terhadap alat permainan dan tidak menerokai persekitaran walaupun ibunya berada bersama-sama dengannya. Mereka berasa risau dan tertekan apabila ibu meninggalkannya seolah-olah mereka sangat rapat dengan ibunya tetapi anehnya tekanan yang dialami oleh mereka tidak dapat diatasi dengan kepulangan ibunya. Mereka kadang-kadang menunjukkan kemarahan ketika ibunya kembali. Kemarahan bayi kadang-kadang menjadi begitu ketara sekali sehingga menunjukkan tingkah laku seperti menolak apabila dipegang oleh ibunya, walaupun pada mulanya mereka kelihatan seolah-olah ingin dipegang oleh ibu mereka. Bayi juga sentiasa berwaspada dengan kehadiran orang yang tidak dikenali walaupun ibunya berada di sisinya. Bayi seolah-olah tidak pasti apayang dikehendaki olehnya. Perapatan jenis ini mempunyai kaitan dengan sifat ibu yang tidak sensitif dan tidak bertindak balas terhadap keperluan bayi. Ibu ini juga kekok ketika berinterkasi dengan bayi tetapi tidak menolak sebagaimana yang dilakukan oleh ibu kepada bayi dari perapatan tidak selamat dan pengelakan.

4) Perapatan bercelaru
8 peratus daripada bayi yang dikaji menunjukkan perapatan yang bercelaru melalui reaksi yang tidak bertentangan dan celaru dalam episod perpisahan dan pertemuanseula dengan ibunya seperti menolak ibunya pada mulanya, tetapi bergantung kepadanya selepas itu atau menangis apabila ibunya pergi dan mengelak apabila ibunya pulang. Misalnya bayi mungkin menangis dan memanggil ibunya di muka pintu tetapi cepat-cepat beredar apabila mendapati ibunya di muka pintu tetapi cepat-cepat beredar apabila mendapati ibunya kembali. Ada kalanya mereka bergerak menuju ke arah ibunya sambil memandang ke arah lain atau berdiri tanpa bergerak serta tidak menunjukkan sebarang reaksi yang jelas dalam situasi di atas.

1 comment:

achee_b165 said...

wah.. blog yg sungguh informatif...
sedikit sebanyak memjadi pnduan kpd sy dlm mengenali perkembangn my 1st bby...

thanks ya... sy add blog ni kt my blog ya!!

my blog:
http://princeredzha.blogspot.com/